Separuh masak. Itulah sifat rumah-rumah yang banyak di pasaran, seolah-olah pengguna tak diberikan pilihan yang manusiawi.
Tak, ini bukan rumah-rumah di bawah nama pemaju-pemaju gergasi yang berharga 700 ribu ke jutaan ringgit. Ini rumah pemaju biasa-biasa yang ditujukan kepada pasaran paling besar berharga sekitar 250 hingga 350 ribu ringgit. Kenapa separuh masak?
Pertama sekali, kita lihat saja luar pagar rumah. Berapa kaki kah yang tinggal untuk laluan pejalan kaki?
Rumah 700 ribu atau jutaan ringgit di dalam komuniti berpagar kebiasaannya mempunyai sekurang-kurangnya 5 kaki laluan pejalan kaki berlanskap di hadapan rumah.
Rumah 250 ribu ringgit, kebanyakannya 0 kaki. Ini kerana, pemaju ingin memaksimakan penggunaan tanah untuk rumah yang boleh dijual.
Laluan pejalan kaki berlanskap dikira sebuah kemewahan yang hanya layak bagi mereka yang membayar lebih untuk hartanah mereka.
Bagi pasaran B40 dan M40 ini, yang tinggal hanyalah jalan untuk laluan kereta sahaja, dan tidak berteduh, sekaligus menempah efek heat island.
Heat island. Ya, pulau neraka. Ketiadaan pokok sebagai peneduh kepada jalan raya bitumen ini membuatkan kawasan perumahan mengalami masalah kepanasan yang teruk di siang hari.
Hal ini kerana, jalan yang tidak diteduhi dengan pokok tadi menadah panas matahari secara terus dan melepaskan kembali haba ke udara sekitarnya. Bitumen boleh serap sehingga 95% haba dari cahaya matahari.
Patut la ramai rakyat kita yang panas baran. Dah panas, mula la bawa kenderaan laju-laju. Dah bawa kenderaan laju, langgar orang pula.
Konflik yang tidak berkesudahan. Jika ada pokok-pokok yang meneduhi jalan tersebut, akan ketara pengurangan suhu ambien kawasan itu. Pokok juga boleh jadi magnet ruang bersosial masyarakat setempat selain ruang melepas lelah bagi jurutera-jurutera pembersihan am.
Yang memandu pula boleh buka tingkap dan menikmati pemanduan santai pulang ke rumah masing-masing. Dahan pokok jatuh tu biasa lah sekali sekala. Baik lagi konflik sekali sekala daripada konflik setiap hari.
Masuk dalam rumah, di sini mula pula masalah yang diketengahkan oleh pembeli sendiri. Kebanyakan pembeli rumah mesti akan merasa keperluan untuk membesarkan dapur.
Untuk masyarakat konvensional yang memilih rumah di atas tanah, dapur itu ialah nadi rumah. Mesti ada ruang dapur basah untuk sesi menumis. Bila tak ada, ingin di-ada-kan.
Bila nak ada-kan, ruang pula tak ngam. Dah makan setback rumah. Dah kena naik turun majlis pihak berkuasa tempatan untuk minta kelulusan. Yang degil, langar saja bina sendiri.
Apa salahnya jika rekaan awal rumah terus sediakan ruang dapur basah dan mungkin korbankan satu bilik jika keluasan tidak mencukupi. Anak bujang tidur ruang tamu sudah lah. Dah besar, hantar asrama. Barulah pendekar.
Selepas renovate dapur, renovate porch pula. Kesejahteraan kereta lebih penting dari kebolehan tanah menyerap air hujan. Malah, persetankan saja ruang untuk anak-anak bermain. Jalan raya tadi kan ada.
Satu rumah sekurang-kurangnya mesti nak ada tiga buah kereta. Bapak satu, mak satu, anak-anak kongsi satu. Demi menjaga sales syarikat automotif dan industri kereta second hand, pengangkutan awam yang mantap hanya bertumpu di kota raya sahaja.
Cadangan penyelesaian dari segi senibina untuk masalah ini? None. Paling baik pun, cuba pakai turf block paver, yang berlubang tengah untuk rumput tumbuh dan air diserap ke dalam tanah. Nak ada tempat anak bermain? Korbankan sikit porch kereta. Parking tak cukup? Cari tanah besar lagi.
Dah jumpa tanah? Nak buat rumah? Ha, ini boleh cari kami Studio Belatuk dan pilih rekaan-rekaan rumah dari templat rumah yang kami sediakan. Siap pilih, kena dengan bajet, setel dokumen financing, kami bina dan serah kunci.
Kami juga mempunyai pakej lengkap hingga templat rekaan dalaman. Anda hanya perlu masuk, bawa beg dan cuci kaki sahaja. Sudah sedia untuk mulakan pengalaman bina kediaman anda dengan kami? Boleh klik sini.
Back to Top